Ibu Tuntut RM200 Pada Orang Yang Pecah Kereta Untuk Selamat Anak | Ibu kanak-kanak itu didakwa hanya memberi laluan untuk cermin keretanya dipecahkan setelah dua lelaki yang turut cuba membantu anaknya masing-masing memberikan kepadanya wang tunai RM100 setiap seorang.
Wang RM200 itu dipercayai sebagai kos ganti rugi bagi mengganti tingkap keretanya yang dipecahkan bagi menyelamatkan anaknya.
Satu lagi kes melibatkan seorang kanak-kanak terkunci di dalam kereta setelah ditinggalkan ibunya berlaku hari ini di hadapan sebuah restoran di Bandaran Berjaya tengah hari tadi.
Lebih malang lagi, ibu kanak-kanak lelaki itu dikatakan enggan membenarkan orang ramai yang cuba membantu memecahkan cermin kereta jenis Perodua Viva miliknya walau pelbagai cubaan untuk membuka pintu kereta berkenaan gagal, lapor portal berita berbahasa Inggeris The Star Online.
Insiden itu disahkan berlaku oleh jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Asama Saruddin ketika dihubungi The Rakyat Post hari ini.
Bagaimanapun Asama tidak pasti sama ada dakwaan ibu mangsa dibayar RM200 bagi membolehkan anaknya diselamatkan seperti dilaporkan The Star memang berlaku.
“Memang ada kes tersebut, dan budak itu telah berjaya diselamatkan anggota kami yang ke sana.
“Mengenai dakwaan kata ibu kanak-kanak itu enggan memberikan kebenaran untuk memecah cermin kereta saya tidak pasti.
“Kami ke sana hanya dengan misi untuk selamatkan budak berkenaan,” katanya.
Walau bagaimanapun pihak polis di Kota Kinabalu tidak dapat mengesahkan kejadian tersebut.
“Saya ada dengar juga berkenaan perkara itu dari orang ramai yang ada di tempat kejadian, tetapi saya tidak boleh sahkan sebab tidak ada orang buat laporan berkenaan kejadian itu.
“Yang ada cuma laporan budak terperangkap di dalam kereta, itu sahaja,” kata jurucakap polis.
Bagaimanapun kanak-kanak berkenaan yang tidur di dalam kereta ibunya dan terjaga sebaik sahaja mendengar tingkap kereta dipecahkan disahkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
0 Response to "Ibu Tuntut RM200 Pada Orang Yang Pecah Kereta Untuk Selamat Anak"
Post a Comment